Nuffnang

Sunday, November 22, 2015

BMW GS jalan dua-dua tayar sekali? Wunderfull Wunderlich


Esposizione Internazionale Ciclo Motociclo Accessori (Italy) atau lebih dikenali sebagai EICMA merupakan medan pembuat motosikal dan aksesori jentera dua tayar dunia menunjukkan kehebatan reka bentuk terbaharu masing-masing.

Tahun ini, banyak pembuat motosikal menunjukkan hasil kerja tangan mereka bagi model-model yang akan dikeluarkan tahun depan.

Tidak kurang juga bagi pembuat aksesori motosikal yang turut ghairah dalam menghasilkan pelbagai aksesori motosikal yang sedia ada mahu pun yang akan dikeluarkan bagi model 2016.

Antara yang menarik perhatian ialah pembuat aksesori BMW, Wunderlich yang turut menjadi perhatian di EICMA.

Wunderlich memang terkenal di seluruh dunia dengan pelbagai aksesori yang menjadi perhatian peminat motosikal terutama BMW ekoran konsep yang diketengahkan.


Maka tidak hairanlah, Wunderlich sekali lagi menjadi perhatian di EICMA selepas memperkenalkan satu konsep baharu yang amat menarik iaitu pacuan dua roda motosikal BMW R1200GS yang menggunakan pemacu hibrid elektronik pada bahagian tayar depan yang direka bentuk oleh pakar elektronik dari Itali, Evolt.


Hibrid Wunderlich pada BMW R1200GS LC X2 ini dilengkapi dengan hab individu 10 kW pada tayar depan yang tidak berhubung langsung dengan enjin boxer GS tersebut.


Malah, teknologi brek yang ada pada hab itu akan mengecas semula pek bateri yang terletak di bawah paruh jentera dua roda tersebut.


Pemancuan tayar depan motosikal berkenaan boleh bergerak sehingga 19.31 km/j jika ia bergerak sendiri dan juga boleh digunakan untuk mengundurkan motosikal, sesuai semasa motosikal anda sarat dengan pelbagai barangan sehingga 300 kilogram ketika mengembara.


Apa yang menarik mengenai sistem hibrid yang direka bentuk oleh Christini ini, ia akan memberi sedikit kelancaran ketika anda melalui jalan tanah di mana tayar depan akan mambantu jentera ditarik semasa di selekoh dan juga ketika keadaan jalan licin.


Setakat ini, tiada data sahih yang memberi tahu adakah sistem hibrid ini boleh dikawal kuasanya atau bagaimana pembahagian kuasa yang akan diberikan ketika tunggangan.


Sumber: Asphalt and Rubber







Wednesday, November 18, 2015

Triumph Explorer 2016 semakin 'liar'


Peminat motosikal kembara pasti tidak mampu menahan mata daripada memandang Triumph Explorer bagi edisi terbaharu 2016.

Jika sebelum ini, model Explorer tidak begitu diminati ekoran tamparan hebat daripada saingan terdekat BMW melalui model GS dan GS Adventurenya, kali ini pasti kedudukan itu agak tergugat.

Triumph Explorer baharu ini didatangkan dengan varian XR dan XC dengan enam model berasingan iaitu Explorer XC, Explorer XCx, Explorer XCa, Explorer XR, Explorer XRx dan Explorer XRt - motosikal kembara yang boleh memenuhi semua golongan.

Lebih menarik, pengedar tunggal motosikal Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn. Bhd. akan membawa masuk ke semua model-model berkenaan jika ada permintaan khusus daripada peminat motosikal kembara, namun model-model asas akan ada di pasaran sedikit masa lagi.

Masih dikuasakan oleh enjin tiga silinder selari 1,215cc dengan kuasa dan tork yang tinggi dan ia dipacukan ke jentera dua roda ini dengan menggunakan syaf - yang dikatakan antara yang paling berkuasa dalam segmen motosikal kembara.

Klac dengan bantuan tork memberikan penggunaannya lebih lancar dan selesa dan boleh dikatakan ringan menjadikan mereka yang melakukan kembara perjalanan yang jauh dan tunggangan di dalam bandar lebih mudah dan selesa.

Prestasi enjin juga lebih baik dengan sistem ekzos baharu yang menampilkan bunyi resonan yang lebih tersendiri.

Antara ciri-ciri terbaharu yang ditambah baik bagi model Explorer untuk 2016 ialah:

  • Teknologi aktif dan fokus untuk rider
  • Kawalan cengkaman dan ABS lebih optimum
  • TSAS – sistem suspensi separa aktif
  • Varian untuk pelana lebih rendah
  • Skrin yang boleh dilaras secara elektronik
  • Sistem Kawalan Penahan Lereng Curam





Wednesday, November 11, 2015

Naked Triumph Speed Triple S dan R untuk 2016













Pembuat motosikal terkemuka di dunia, Triumph semalam melancarkan dua jentera naked terbaharu mereka Speed Triple S dan Speed Triple R.

Terus menggunakan kemampuan enjin tiga silinder selari, kedua-dua jentera ini diperkemaskan dengan pelbagai teknologi motosikal terkini.

Dijana dengan power plant 1050cc, kedua-dua model ini bakal mendominasi segmen naked yang kini dipelopori oleh jentera Kawasaki dari Jepun.

Menariknya, Speed Triple S dan R ini diperbaharui dengan 104 penambah baikan termasuk tork yang lebih baik berbanding model sebelumnya.

Kini, bakal pemilik jentera dua roda hasil kepakaran jurutera Triumph United Kingdom ini boleh merasai sendiri kemampuan teknologi tunggangan termasuk mod tunggangan, ABS boleh tukar dan kawalan cengkaman boleh tukar mengikut pilihan penunggang.

Speed Triple S dan R ini dikatakan lebih 'kurus' sebanyak 20 mm di bahagian radiator dan enjin membuatkannya lebih tirus untuk tunggangan lebih lancar dan laju.

Dilengkapi dengan brek Brembo monoblock sebagai brek standard bagi kedua-dua model manakala model R mempunyai kelebihan dengan dilengkapi  'bellypan',  perincian karbon bahagian badan dan juga suspensi Öhlins depan dan belakang.

Empat warna menarik untuk dipilih termasuk Phantom Black dan Diablo Red untuk Speed Triple S, Crystal White dan Matt Graphite untuk Speed Triple R.

Manakala peminat jentera naked yang lain termasuk Street Triple R boleh merasai debaran menunggangnya padaTri-Days Triumph 14-15 November ini di Fast Bikes Store Petaling Jaya manakala 21-22 November di Fast Bikes Pulau Pinang.

Apa yang menarik pada Tri-Days Triumph ini ialah anda boleh memenangi kemeja Tee dengan hanya menunggang uji Street Triple manakala untuk memenangi jam edisi terhad, anda hanya perlu merakamkan gambar dengan jentera berkenaan.

Hubungi Fast Bikes dengan klik sini untuk keterangan lanjut dan tawaran harga menarik.